Kamis, 19 Juni 2008

Biaya Hidup Meningkat dan Perlunya Penjimatan

Sejak 5 Jun 2008 seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenaikan harga minyak petrol sehingga RM2.70 daripada harga lama RM1.90. Kenaikan 0.80 seliter minyak petrol banyak memberi kesan berganda kepada kehidupan masyarakat terutama yang miskin. Selama ini kita dibuai dengan berbagai subsidi termasuk subsidi minyak petrol dan kita membandingkan harga minyak petrol dengan negara-negara jiran dan mendakwa bahawa harga kitalah yang terendah.

Sebenarnya dengan memberikan subsidi kita tidak tahu keadaan ekonomi yang sebenarnya. Pemberian subsidi akan meringankan beban rakyat tetapi rakyat yang kaya pun diperingankan sekali, sepatutnya mereka yang berduit tidak memerlukan subsidi, namun untuk mencipta satu sistem yang dapat memuaskan setiap rakyat amatlah sukar.


Apakah tindakan rakyat terhadap himpitan kenaikan harga minyak petrol yang tentunya akan menjadi butang kepada kenaikan harga barangan yang lain. Semua orang akan memberikan saranan agar melakukan penjimatan atau mencari kerja tambahan untuk meningkatkan pendapatan dan dengan itu akan menstabilkan tabiat perbelanjaan lama.

Dalam ruangan ini saya sendiri ingin mencadangkan agar kita menyediakan bajet setiap bulan atau setiap dua minggu dengan memasukkan wang peruntukan ke dalam envelop dan dilabelkan setiap envelop tersebut mengikut kategori perbelanjaan. Setiap kali transaksi dibuat catitan hendaklah ditulis pada kulit envelop tersebut dan sekiranya peruntukan habis maka kegiatan yang berkaitan dengan envelop tersebut tidak dijalankan sehingga dua minggu atau sebulan akan datang apabila bajet baru diterima. Sebagai contoh bajet untuk makan di luar, maka apabila habis peruntukan itu, ini bermakna tidak ada makan di luar sehingga peruntukan baru diperolehi. Disiplin dan kesungguhan diperlukan bagi menjayakan sistem ini.


Selamat mencuba.

Senin, 26 Mei 2008

Kombinasi Baru Dalam Jawatankuasa Dewan Rakyat

Pada hari ini 26 Mei 2008, berita yang saya dengar melalui radio bahwa beberapa jawatankuasa Dewan Rakyat mempunyai komposisi anggota daripada parti pembangkang. Ini suatu perkembangan yang baik bagi demokrasi negara kita. Suara pembangkang perlu juga didengar oleh pemerintah supaya ada "check and balance" dalam semua perbincangan. Pihak kerajaan ada kelompok yang mereka wakili bagitu juga pihak pembangkang ada kelompok yang mereka wakili dan jika semua suara rakyat didengar dengan baik akan terjadi suatu keharmonian dalam negara kita tercinta Malaysia.
Perlu kita ingat bahwa negara kita mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan setiap kaum perlu mempunyai suara di parlimen agar kesejahteraan mereka juga terjamin. Apa-apa keperluan mereka dipenuhi dengan mengambilkira sensitiviti kaum lain. Suatu neraca perlu digunakan agar apa-apa saja masalah dilihat lebih awal sebelum sesuatu yang buruk berlaku tanpa dapat dikawal.
Semua rakyat tidak mahu peristiwa berdarah 13 Mei 1969 berulang lagi, semua rugi akibat daripada peristiwa berdarah tersebut. Sama-samalah kita menjaga titipan ALlah kepada rakyat Malaysia.
Malaysia Negara Kita dan Rakyatnya adalah Kita.