“Jangan berpijak di dahan rapuh” selalu ayahku berpesan ketika kami cuba memanjat dahan-dahan manggis di kampong. Beliau mengizinkan kami memanjat kerana sudah beberapa kali memanjat dan tidak jatuh. Namun beliau tetap berpesan begitu.
Rupanya pesanan itu membawa makna yang besar dalam hidup, kerana ramai manusia yang sudah hilang jatidiri dan memerlukan manusia lain untuk naik. Kalau mereka berpijak pada pautan-pautan yang rapuh, angin yang kuat yang datang lima tahun sekali sudah pasti akan menguji dahan-dahan itu dan sudah tentu ada yang patah kerana rapuh. Kerapuhannya bukan bergantung kepada struktur dahan itu tetapi bergantung erat dengan perjuangan dahan itu. Apakah perjuangan mereka hanya bertujuan keuntungan material semata-mata atau mereka melihat habuan yang lebih lestari di akhirat nanti.
Sebuah perjuangan bukan mencari populariti, namun yang ditegakkan ialah kebenaran. Semua kebenaran adalah hak Allah, dan ukuran kebenaran ialah berdasarkan Al-Quraan dan Sunnah. Semua yang dikatakan kebenaran perlu diuji apakah itu kebenaran yang seperti dikatakan dalam kedua-dua sumber otentik itu. Jika tidak semua kebenaran itu hanya bertopengkan janji manis yang membahayakan. Tidak ada undian bagi menentukan kebenaran sebab kebenaran itu hakiki walau pun hanya seorang yang memperjuangkannya, jangan terkeliru dengan ramainya manusia jika manusia yang ramai itu memperjuangkan kebatilan.
Memang jalan perjuangan itu sepi sebab jalan ini tidak menjanjikan laba sekarang, ramai yang memilih jalan ramai walau pun tahu dengan jelas jalan itu akan menyesatkan. Tidak banyak rambu jalan dalam hidup ini menuju kebenaran, hati kitalah yang memandu kita ke jalan kebenaran dengan didikan agama dan norma-norma kehidupan yang baik dan kekal.
Memilih kebatilan bermakna memilih dahan yang rapuh yang suatu saat pasti akan runtuh. Pilihlah dahan yang utuh kerana ianya akan kekal lama. Lebih baik sebuah perjuangan itu dibina, dibaja dan disuburkan dengan perlahan tetapi pasti, berbanding dengan sebuah perjuangan palsu yang hanya memikirkan laba dekat dan belum pasti halal. Hidup ini singkat dan sementara dan sedih sekali jika ada manusia yang masih bermain-main dalam hidup ini. Tiada matlamat hidup yang jelas dan tidak focus, padahal setiap orang tahu kematian akan menjemput kita bila-bila masa saja dan kehidupan selepas kematian jauh lebih lama dan kekal dari kehidupan dunia yang fana ini.
Elok kita selalu bertanya, apakah yang kita cari dalam hidup ini. Kalau kita tidak tahu apa yang dicari, sampai bila pun kita tidak akan berjumpa sesuatu kerana pencarian yang tidak ada tujuan dan matlamat. Kita perlu membina generasi yang lebih baik daripada generasi kini kerana cabaran mereka jauh lebih tajam dan merbahaya. Liku-likunya tidak dapat diduga dan mereka memerlukan jatidiri yang kuat dan ampuh.
Marilah kita hidup dengan ikhlas dan jelas dengan perjuangan kita biarpun di mana kita berada, dan senentiasalah berpaut kepada dahan yang utuh dan teguh agar kita tidak dibawa arus deras apabila arus itu tiba-tiba melanda. Hanya benteng iman yang kuat saja dapat membina keikhlasan dalam perjuangan.
Memang perjalanan kebenaran itu sepi.
Langganan:
Postingan (Atom)