Senin, 26 September 2011

Dihargai bila sudah tiada


Hati ini tiba-tiba menjadi sedikit sedih apabila melihat budaya sekeliling. Seseorang yang berjasa hanya dihargai apabila dia sudah tiada di dunia ini. Puteh Ramlee hanya diberikan gelaran Tan Sri apabila beliau sudah lama meninggal. Filemnya masih terus ditayangkan di televisyen (TV) walau pun kelibatnya sudah lama tiada. Terpaku anak-anak di depan TV apabila siri filem P. Ramlee dipertontonkan, seperti ada besi berani di kaca TV itu.

Ada dua hal yang boleh kita utarakan. Pertama, hebat sekali olahan filem P. Ramlee sehingga menarik minat penonton dengan begitu berkesan sekali. Kedua, mungkin mentaliti kita tidak berubah hingga kini kerana filem tahun 60an masih diminti. Andaikan pilihan pertama itu benar, maka kita melihat tidak ada kesinambungan bakat P. Ramlee dalam masyarakat kita kerana beliau belum sempat menurunkan bakat itu kepada pewarisnya. Jika pilihan kedua kita teliti, maka malang sekali negera kita kerana memiliki masyarakat yang sejak dulu hingga kini tidak berubah mentalitinya. Status quo tahun 1960an masih dipertahankan. Tinggal lagi sembilan (9) tahun Negara kita akan bergelar Negara Maju versi Tun Dr Mahathir.

Dari permerhatianku, masyarakat kita lebih bersikap reaktif berbanding proaktif. Apabila sesuatu kejadian itu berlaku, barulah kita tercari-cari alasan kenapa sesuatu itu berlaku. Apabila undi BN merosot dalam PRU 12, barulah BN tercari-cari sebab kemerosotan itu. Cuba selusuri setiap kejadian-kejadian yang lain yang pernah berlaku di Negara kita, akan didapati ciri-ciri reaktif itu berada di sana.

Negara kita pernah cuba untuk menjadi proaktif dengan meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan bagi memersatukan bangsa, namun akibat desakan politik dan alasan lain, dasar Negara yang begitu murni boleh dipesongkan dalam sekelip mata dan kita berhadapan dengan masalah serius polarisasi kaum. Dikhuatiri keresahan sosial akan menjadi bom waktu yang dapat meledak pada bila-bila masa dan menghancurkan harmonisasi kaum di Malaysia.

Kenapa kita tidak menghargai seseorang pada masa hidupnya? Bantu dia berkarya. Tunjangi hidupnya dengan kewangan yang mencukupi agar dia tidak perlu mengemis untuk mendapatkan sesuap nasi sambil dia terus berkarya. Dimanakah kelibat Shukri Hadapi yang pernah digelar sebagai budak ajaib satu ketika dulu. Apa sudah jadi dengan kerja-kerja kreatif dan inovatif Zulkifli Haron dalam bidang elektronik? Apakah beliau dibantu secukupnya untuk berkarya? Beliau dengan gigihnya membina Zull Design Autotronic sehinga berjaya.

Kita tidak mahu episode Hang Nadim berlaku semula dalam masyarakat kita. Ilmuan dipinggirkan, sementara para artis didewa-dewakan. Sungguh malang nasib sesuatu bangsa kalau nilai-nilai murni tidak diutamakan, sehingga Islam berada di Negara bukan Islam seperti Jepun, Korea, dan Jerman. Nasib para ilmuan tidak mendapat pembelaan sehingga mereka hanya akan dihargai apabila mereka sudah tiada di dunia ini. Penghargaan yang diberikan selepas mereka tiada tidak sedikit pun membantu mereka di alam barzakh, yang hanya akan membantu mereka ialah ilmu yang bermanfaat, amal sholeh dan anak-anak sholeh dan sholehah yang mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka.

Marilah kita membina masyarakat yang mempunyai budaya proaktif.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 26 September 2011.