Sabtu, 20 Juli 2013

Membina kembali Muslim berkualiti

Zaman terbaik Muslim berkualiti ialah ketika zaman Rasulullah Muhammad SAW masih hidup dan terus memberikan bimbingan langsung ketika itu. Kemudian zaman para sabahat Rasul, kemudian zaman sahabat para sahabat Rasul dan seterusnya sehingga hari kiamat. Nilai kualiti Muslim terus menurun seperti graf monoton turun dalam fungsi graf matematik. Titik sifar kualiti Muslim ialah kiamat, ketika mana semuanya sudah tidak bererti lagi bagi kehidupan.

Apakah mungkin kita membina kembali kualiti Muslim? Sekurang-kurangnya menghampiri kualiti Muslim zaman kegemilangan khalifah Islam terakhir iaitu Zaman Uthmaniah yang begitu berjaya mengembangkan keilmuan Islam sehingga dikagumi dunia dan dunia Barat menceduk karya-karya agung Al-Khawarizmi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan lain-lain untuk dijadikan panduan mereka. Selepas jatuhnya Zaman Uthmaniah, dunia Islam sudah seperti kehilangan punca dan muslim sejak itu sehingga kini banyak terpengaruh dengan fahaman materialisma yang akhirnya akan membawa kepada kehancuran.

Negara OIC (Organization of Islamic Countries) kini seperti tidak bertaring lagi dan hanya melaung-laungkan slogan tanpa kerja penyatuan yang konkrit. Negara Republik Islam Iran sudah agak maju tetapi pengaruh syiahnya terlalu kuat sehingga bentrokan akan tetap berlaku dengan penganut sunni. Mesir pun hampir akan menjadi negara Islam, namun angkara Israel, Amerika dan Negara-Negara Barat lain arah tersebut sudah tersekat. Jadi, suasana di luar negara ketika ini tidak mungkin akan membantu perkembangan Islam atau meningkatkan kualiti ummat Islam.

Kembali kepada Malaysia, negara tercinta kita. Apakah senarionya kini? Menurut perangkaan tahun 2010, memang bangsa Melayu adalah majoriti (60.3%), Cina (22.9%) dan India (7.1%) adalah minoriti, namun dari segi kualiti kehidupan mereka bagaimana? Lihat dari segi akhlak, pemilikan harta, kemajuan pendidikan, kemajuan berfikir dan sebagainya. Kenapa hampir semua masyarakat Cina menolak kepimpinan Melayu dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini? Apakah kerana kualiti pemimpin Melayu yang lemah? atau sifat perkauman mereka yang tebal?. Belum ada kajian yang komprehensif dilakukan terhadap ini.

Dari pengamatan kasar penulis, pegangan masyarakat Melayu terhadap Agama Islam semakin tipis, ibu bapa kini terlalu mengikut kehendak anak dan tidak berani mendidik dengan tegas anak-anak mereka tidak seperti ibu bapa tahun lima puluhan dan enam puluhan. Ketika tahun 50an dan 60an rotan siap berada di dinding rumah dan jika perangai anak-anak menyeleweng maka hinggaplah rotan itu ke badan mereka. Kaedah rotanologi ini sangat berkesan sebagai pengajaran kepada anak-anak agar mereka berkelakuan baik dan sopan. Patuh kepada arahan orang tua dan patuh kepada ajaran agama Islam. Kini kegiatan sedemikian semakin jauh dan kian menghilang dek kegilaan mengejar harta dan pangkat. Ada orang tua kini yang sudah tidak berminat lagi mendidik anak-anak mereka dan membiarkan anak-anak mereka mencari haluan sendiri sehingga ramai yang tersadai di pusat-pusat serentik dan ada juga yang bermukim di penjara buat seketika.

Jika kualiti masyarakat Melayu semakin menurun dan kualiti masyarakat lain semakin bertambah baik, besar kemungkinan kelompok yang kecil tetapi berkualiti dapat mengalahkan kelompok yang besar tetapi tidak berkualiti. Ketika kekalahan itu tiba, jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkan diri sendiri kerana tidak memperdulikan peringatan ini. Indeks rasuah semakin meningkat walau pun ada pihak yang menafikannya, ini salah satu simptom menurunnya nilai moral di kalangan masyarakat Melayu yang hampir 80% menguasai pentadbiran awam negara ini. Simptom-simptom lain seperti mat rempit, penagihan dadah, salah laku moral dan sebagainya merupakan indikator-indikator semakin menurunnya nilai moral di kalangan Melayu. Ini belum lagi kita perkirakan pemujaan artis sebagai idola berbanding mengambil ulama atau ilmuan sebagai “role model” dalam kehidupan harian Muslim Melayu di Malaysia.

Sama-samalah kita renungkan nasib Melayu di negara Malaysia kita yang tercinta ini sempena bulan Ramadan yang mulia semoga Allah menyelamatkan bangsa kita khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Amin!!!.

Ismail Abdullah, 21 Julai 2013.


Selasa, 09 Juli 2013

Iktibar Dari Kisah Tagal Sungai Moroli

Ketika seorang pemuda bernama Jeffri Majangki@Muhammad Fazli berumur 47 tahun tertidur nyenyak akibat keletihan di tepi pantai Sungai Moroli, beliau terkejut dari lena tidurnya apabila ratusan ikan sebesar tapak tangan dan sepanjang satu kaki mengigit manja kaki-kakinya. Itu kisah benar yang dipaparkan melalui Majalah Dewan Masyarakat terbitan Jun 2010.

Pada 9 Julai 2013, saya dengan anak saya Dr Abdul Jabbar Ismail yang bertugas di Hospital Kudat melihat dan merasai sendiri gigitan manja ikan-ikan yang suatu ketika dulu pernah mengigit pemuda Kadazan Dusun di atas. Cukup menarik kisah pemuda tersebut yang pada mulanya ditertawakan penduduk kampungnya atas usaha untuk membersihkan Sungai Moroli dan dijadikan kawasan penternakan ikan kelah yang mengigit manja kaki atau badan sesiapa saja yang turun ke air di tempat ikan-ikan itu berada. Sekaligus kawasan ini kini menjadi tarikan pelancong yang sangat popular. Oleh kerana tersangat popularnya, pada waktu puncak setiap peserta hanya dibenarkan berada di air sungai itu hanya selama 15 minit sahaja kerana memberi peluang kepada pengunjung-pengunjung lain merasai pengalaman itu.

Siapa sangka daripada hasrat mudah pemuda tersebut menjadi sumber pendapatan kepada pengusaha di kampungnya dengan mengenakan tiket RM10 seorang untuk masuk ke kawasan ikan-ikan tersebut dan merasai gigitan ikan-ikan itu. Limpahan daripada kegiatan itu ramai peniaga dapat berjualan makanan di sekitar kawasan berkenaan.

Alangkah baiknya kalau idea tersebut diterapkan di sungai-sungai di tempat-tempat lain di Malaysia. Sungai menjadi bersih dan dapat menarik pelancong dalam dan luar negeri untuk merasai pengalaman tersebut. Saya sendiri pernah mendengar ketika kecil bahwa ikan Kelah hidup membiak di sungai-sungai di Semenanjung dan banyak jenis ikan kelah yang dapat dipelihara selain daripada sebagai hiburan juga sebagai makanan yang lazat bagi penduduk.

Telah lama kita dengar “Kempen Sungai Bersih” yang suatu ketika dulu gencar dilancarkan kerajaan namun kurang mendapat sambutan masyarakat. Kita tidak pasti kenapa kempen tersebut kurang mendapat sambutan masyarakat. Sungai dijadikan masyarakat untuk tempat membuang sampah dan kilang-kilang mengambil jalan pintas dengan mengalirkan sisa buangan ke sungai-sungai atau parit-parit berdekatan. Sudah sampai masanya masyarakat dan kerajaan menggerakkan semula kempen sungai bersih agar sumber air yang begitu berharga dapat dijaga dan dirawat untuk keperluan generasi yang akan datang.

Sampai bilakan kita akan digelar sebagai sebuah negara yang mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi mempunyai mentaliti kelas ketiga. Kinilah masanya kita membuat perubahan drastik dengan mengambil iktibar dari kisah pemuda di Sungai Moroli, Ranau, Sabah itu.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 10 Julai 2013.


Jumat, 17 Mei 2013

Yakin dengan pendirian sendiri

Sejak bila kita mampu mempunyai pendirian sendiri? Keyakinan diri masyarakat kini kian rapuh dengan tujahan-tujahan berita dari berbagai sudut. Media-media Internet, Surat Khabar, Majalah picisan dan perbualan manusia sekeliling sangat tipis kesahihannya. Apa lagi gosip. Malahan media-media yang kita anggap tebal kesahihannya pun seperti jurnal berwasit, buku-buku dan kertas putih masih mempunyai keraguannya. Jadi, bagaimanakah pendirian sendiri itu dibentuk?

Membentuk pendirian sendiri tanpa condong ke mana-mana adalah sangat sukar, apalagi kalau menggunakan peri bahasa, “cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar”. Orang keliling perlu diperhatikan kerana dikhuatiri percakapan kita melukai hati mereka. Juga, mungkin ada “mata-mata” yang sedang mengintip.

Kita hendaklah berkata baik atau diam saja berdasarkan hadis, “Barangsiapa yang beriman pada Allah dan pada hari akhir maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam.” (HR Bukhari Muslim).

Juga disebut dalam dua ayat Al-Quraan bahawa tujuan percakapan hanyalah untuk kebaikan saja (Surah An-Nisa’:114 dan Surah Al-Mukminuun:3). Ini bermakna jika ada keburukan terhadap sesiapa pun kita dilarang untuk mendedahkannya apa lagi membuat tuduhan palsu dan mencari pula saksi-saksi palsu. Hal yang diperbolehkan ialah jika keburukan itu akan mendatangkan mala petaka segera, maka kita mesti memberitahu kepada mereka yang berkaitan tentang bahaya demikian.

Berdasarkan hadis dan ayat-ayat al-Quraan di atas, hanya percakapan yang baik sahaja yang perlu kita dengar atau diperdengarkan. Percakapan-percakapan lucah, tidak berfaedah dan sebagainya perlu dihindari.

Pendirian atau sikap seseorang dibentuk oleh pengalaman, pengetahuan dan persekitaran yang mereka alami. Namun, apabila umur meningkat dan kematangan berfikir menjadi sempurna manusia tidak lagi berpendirian atau bersikap bodoh, tetapi mereka akan bersikap matang dalam sebarang penilaian baik dan buruk tentang sesuatu.

Sebagai contoh kesimpulan yang diambil daripada sesebuah kajian atau penyelidikan bukanlah mudah. Contohnya kesimpulan yang diambil oleh seseorang penyelidik berdasarkan temubual atau percakapan dengan dua puluh lapan (28) orang tertentu adalah sangat tidak adil dan kesimpulannya secara ilmiah tidak boleh diterima. Paling minimum jumlah responden adalah 30 orang yang dipilih secara rawak, bukan dipilih oleh penyelidik dengan bermatlamat. Jika semua mereka sudah mempunyai sikap berpihak, maka kajian sedemikian sudah tidak berdasarkan kepada sampel rawak lagi, pada hal sampel rawak sangat penting dalam sesuatu kajian yang adil. Pertama sekali penyelidik akan menentukan populasi kajian. Jika populasi kajian terlalu besar, maka beliau perlu membuat persampelan, dan sifat persampelan mestilah rawak (independent). Terdapat kaedah menentukan persampelan dalam statistik yang disediakan oleh pakar statistik.

Saya sangat khuatir jika masyarakat tidak meningkatkan ilmu dan kefahaman mereka tentang dakyah yang disebarkan melalui media-media yang diragui, mereka akan terjebak dengan kejahilan dan tidak berupaya untuk mempunyai pendirian sendiri. Akhirnya pendirian mereka ditentukan oleh media massa yang menyokong kepada pihak-pihak tertentu.

Adalah sangat penting pihak penguasa berusaha untuk memandaikan rakyat agar mereka dapat berfikir dengan waras dan logik dan dapat mempunyai pendirian sendiri tanpa dipengaruhi oleh propaganda kosong. Kita mestilah memandaikan rakyat dengan melihat fakta yang logik dan kajian-kajian yang adil bukan berdasarkan pendapat yang fanatik kepada sesuatu perkara yang agenda jahatnya sudah ditentukan.

Sudah sampai masanya rakyat dipandaikan dengan galakan membaca, berdiskusi ilmiah, mengemukakan fakta yang bukan dusta. Berani kerana benar, takut kerana salah.

Ismail Abdullah, 17 Mei 2013.


Kamis, 16 Mei 2013

Peminta sedekah atau pengutip derma

Fenomena peminta sedekah atau pengutip derma kini sudah muncul di restoran, stesyen minyak, pasaraya dan berbagai tempat lain. Apakah ini sebuah fenomena baru bermula? Atau apakah fenomena ini baik atau buruk? Ruang yang terbatas ini tidak bermaksud untuk mengupas fenomena ini secara detail dan ilmiah.

Apa yang saya ingin utarakan ialah pengalaman kami menanggani perkara ini. Suatu malam saya isteri makan malam di sebuah restoran kegemaran kami di seksyen 7 dan seperti biasa kami akan dikunjungi sama ada peminta sedekah atau pengutip derma.

Pertama yang datang ialah pengutip derma dari sebuah madrasah dan saya berikan RM10 kepada beliau dan saya tak ambil resit. Tak lama kemudian satu per satu datang seolah-olah macam ada signal dari orang pertama mengatakan “di sini ada lubuk ikan”. Kami berfikir sejenak dan mula memberi hanya RM1.00 sahaja kepada siapa yang datang selepas itu. Taktik ini nampaknya berkesan kerana hanya 4 orang (4 pasangan) saja yang datang selepas itu. Dua pasangan buta dan dua pasangan celik.

Logik pertama kami ialah kalau kami berikan RM1.00 seorang sahaja, kami boleh berikan kepada 10 orang dengan duit sepuluh ringgit, berbanding dengan kalau kami berikan RM10 seorang kami akan membelanjakan RM100 semalam.

Logik kedua ialah kalau setiap orang hanya memberikan RM1 atau RM0.50 sahaja mereka akan mendapat pendapatan yang kurang dan akhirnya mereka akan membuat perbandingan dengan kerja lain yang lebih baik daripada meminta-minta yang sebenarnya dilarang oleh agama dan tidak baik dalam membina sahsiah diri. Akhirnya ramai yang akan meninggalkan “kerja” meminta-minta ini dan membuat pekerjaan yang lebih lumayan pendapatannya.

Pada dasarnya setiap orang yang datang meminta kita perlu berikan sesuatu, jangan mengherdik mereka dan jangan mencurigai mereka, tetapi berikan hanya RM1.00 sahaja. Melalui cara ini akan membuat mereka berubah profesi menggunakan tulang empat kerat yang Allah berikan. Jika memang mereka benar-benar daif, apa salahnya kita berikan lebih tetapi yang masih segar bugar pun mencuba profesi yang tidak begitu digalakkan ini tetapi cepat berkembang dalam masyarakat. Kita yang sebenarnya menggalakkan mereka menjalankan profesi ini kerana kepemurahan kita yang tidak kena pada tempatnya.

Satu hal yang perlu saya sentuh juga ialah peminta sedekah bersindikat. Mereka menggunakan kanak-kanak sekolah untuk mengutip derma pada hal masa yang mereka gunakan pada waktu malam itu sebaiknya digunakan untuk mengulangkaji pelajaran atau berehat. Kita harap pihak berkuasa meneliti perkara ini dan jangan dibiarkan berlarutan.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 16 Mei 2013.

Senin, 27 Agustus 2012

Jalan raya di Malaysia tidak mesra pengguna

Seronok juga raya tahun ini dapat menziarahi keluarga dan kawan-kawan sepanjang perjalanan pergi dan pulang kampung. Cuti raya selama lima (5) hari padat dengan kegiatan ziarah dan kenduri kendara perkahwinan.

Sepanjang perjalanan penumpang kenderaan biasanya tidur atau berborak atau melihat layar media dalam kereta, tetapi bagi pemandu keadaan yang cukup berbeza. Pertama, mata tidak boleh terlelap. Kalau terlelap habis semua berkecai sebab sesaat terlelap kenderaan sudah tidak dapat dikawal dan berlakulah apa yang kita tidak ingin ianya berlaku. X-c-den.

Kedua ialah berbual dengan “partner” kalau dia tidak tidur. Tapi lama kelamaan yang “partner” itu akan senyap dulu sebab rupanya sudah tertidur si dia. Ketiga, kalau pilihan pertama tidak berlaku (harap-harap jangan sekali-kali berlaku), juga pilihan kedua “partner” tertidur atau habis modal berbual, maka pemandu akan bersendirian melayani fikiran sendiri dan untuk menghindarkan mengantuk biasanya saya menyediakan kacang agar mulut senentiasa bergerak dan dengan itu mata tidak akan tertutup.

Situasi ketiga ini yang ingin saya huraikan dalam tulisan santai kali ini. Setelah berkenderaan hampir seluruh Malaysia saya mengambil kesimpulan bahwa “Jalan Raya di Malaysia tidak mesra pengguna”. Kenapa saya berpendapat demikian? Sewaktu perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Baling, saya dan isteri singgah di Kg Gajah untuk beraya dengan teman fesbuk Abah Sam. Selepas dijamu dengan makan tengah hari, kemudian makan durian kami pun pamit untuk meneruskan perjalanan pulang. Oleh kerana nak cari pengalaman baru kami pun ambil jalan melalui Sabak Bernam dengan harap cepat sampai.

Abah Sam berpesan agar menggunakan jalan pintas melalui Ulu Dedap dan membekalkan saya dengan lakaran jalan pintas tersebut. Selepas Pekan Kg Gajah mata saya memerhatikan kot-kot ada papan tanda ke Ulu Dedap, namun tidak kelihatan. Saya meneruskan perjalanan dengan harap akan terlihat papan tanda tersebut, namun tidak kunjung nampak.

Akhirnya saya melalui jalan jauh melalui Setiawan, dalam perjalanan tidak ada satu petanda yang jalan ini akan menuju ke Sabak Bernam. Akhirnya saya bertanya dengan pemilik stesyen minyak dekat Setiawan dan beliau menyatakan bahwa jalan ini akan menuju ke Sabak Bernam. Rasa lega di hati sebab akhirnya jalan ini menuju ke tujuan kami. Kami menghabiskan satu jam setengah melalui jalan jauh itu dan akhirnya baru saya ternampak papan tanda ke Ulu Dedap dalam perjalanan saya menuju jalan Sabak Bernam – Telok Intan. Apa yang saya harapkan ialah papan tanda itu berada di Kg Gajah dan membolehkan kami menggunakan jalan pintas dan menyelamatkan satu jam setengah.

Itu pengalaman terbaru saya. Apa yang saya dan pengguna jalan raya yang lain inginkan ialah info tentang bandar-bandar yang akan kita lalui apabila menggunakan sesuatu jalan itu. Ini akan memberikan pemandu sedikit keyakinan terutama bagi yang baru pertama kali melalui jalan tertentu.

Masalah kedua ialah kebanyakan papan tanda arah jalan dilindungi dengan pohon rendang atau ranting. Ini amat menyukarkan pemandu membaca. Sebaiknya penjaga amanah jalan raya seperti Jabatan Kerja Raya membuat pemantauan dengan memotong pokok-pokok atau ranting-ranting yang melindungi papan tanda agar pemandu dapat membaca dengan jelas.

Cadangan berikut saya ialah agar diletakkan papan tanda yang dapat memberikan info kepada pemandu atau penumpang. Jarak antara satu dengan yang lain boleh dalam jarak satu kilometer. Dulu saya sering terbaca papan tanda “Solatlah sebelum kamu disolatkan” dan ini mengingatkan kita kalau-kalau belum solat dalam perjalanan. Mungkin juga kita boleh letakkan papan tanda, “Rakyat berdisiplin negara maju” dan lain-lain sebagainya untuk bertindak sebagai “flash cards” dan sekaligus memberikan motivasi kepada pembaca, jangan panjang tetapi padat dan penuh makna. Tindakan ini akan sekaligus mendidik rakyat menjadi rakyat yang bertamadun dengan kata-kata perangsang dan kata-kata baik.

Apa yang saya lihat sepanjang perjalanan ialah bendera partai. Ada kawasan yang benderanya hijau dengan bulat putih di tengah, ada kawasan yang benderanya biru laut, biru pekat dan kadangkala nampak “roket”. Apakah pengajaran yang dapat diperolehi rakyat melalui bendera-bendera ini? Elok kalau kita melalui kawasan Larut Matang, ada tulisan dengan jelas, “Anda sedang melalui kawasan paling tinggi curahan hujan” atau ketika melalui Kubang Pasu, ada papan tanda yang menyatakan, “Anda berada di jelapang padi Negara” dan sebagainya dan sebagainya. Ini boleh mendidik rakyat, terutama pemandu agar setidak-tidaknya tidak mengantuk atau juga akan terjadi perdebatan dalam kereta tentang makna “jelapang” misalnya. Kita mesti kreatif dalam mendidik rakyat dan bertindak secara sepadu antara semua agensi kerajaan.

Saya memang “kaki jalan”, mungkin ada “tahi lalat” di kaki saya, tetapi saya tidak mahu membuat perjalanan yang sia-sia. Tidak ada unsur pendidikan yang kita perolehi selepas perjalanan itu selesai. Pihak syarikat boleh menggunakan kaedah ini bagi mendidik rakyat, dengan disertakan suatu iklan kecil di bawah papan tanda berkaitan agar yang nampak jelas ialah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat sambil ada sedikit manfaat kepada syarikat swasta yang menaja papan tanda berkaitan maklumat atau kata-kata perangsang dan sebagainya.

Perjalanan sepanjang lebih daripada 1,000 kilometer dari Kuala Lumpur ke Alor Setar dan pulang hanya akan memperolehi penat dan lelah saja kalau tidak ada sesuatu yang dapat kita hayati sepanjang perjalanan. Sewaktu musim perayaan perjalanan akan memakan masa dua kali ganda daripada perjalanan waktu biasa, alangkah baiknya kalau sepanjang perjalanan dapat diisi denga wirid kepada Allah dan juga membaca papan-papan tanda semangat dan keIslaman sepanjang perjalanan.

Petikan ringkas dan padat dari Al-Quraan dan Al-Hadith boleh mendidik kita sepanjang perjalanan yang jauh. Menyejukkan hati yang gelisah kerana “jam” kereta bertali arus. Ini sekedar cadangan dari saya.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Ogos 2012


Kebangkitan Rakyat di Mesir sehingga jatuhnya Hosni Mubarak

Pada 18 Ogos 2012, sehari sebelum Hari Raya Eidul Fitri, saya menerima dua buah buku daripada ananda Lathifah Ulfa yang biasa kami panggil Kak Ifa saja. Kak Ifa ialah anak sulung kami daripada enam beradik.

Buku pertama yang agak tebal ialah karya Yusuf Al-Qaradhawi bertajuk, “Yusuf Al-Qaradhawi dan Kebangkitan Rakyat”, buku setebal 270 halaman telah diterbitkan pada tahun 2012 oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Buku kedua ialah buku terjemahan Kak Ifa sendiri bertajuk, “Mukjizat Solat Sunat Rasulullah”. Buku setebal 198 halaman itu asalnya ditulis oleh Rachmat Ramadhana Al-Banjiri dalam Bahasa Indonesia dengan tajuk yang sama, kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh Lathifah Ulfa (Kak Ifa) dan diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn Bhd pada tahun 2012.

Dalam tulisan ini saya ingin menyorot buku karya Yusuf Al-Qaradhawi kerana ianya relevan dengan suasana semasa dan banyak iktibar yang dapat diambil oleh negara kita yang kini aman damai agar tidak terjadi apa yang sedang terjadi di negara-negara Arab kini. Buku asalnya dalam Bahasa Arab dan telah diterjemahkan oleh Grup Penterjemah Deria (Derang / Syria) yang diketuai oleh Ustaz Abu Toriq as-Syami. Tulisan ini juga memperkuatkan tulisan saya yang terdahulu bertajuk “Arab Springs dan Ikhwan Muslimin” yang disiarkan dalam blog yang sama dengan tulisan ini. Tulisan terdahulu itu berasaskan kepada sebuah forum yang telah diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan pembicara utama Prof Dr Mohd Ridzuan Othman seorang Professor Sejarah di Universiti Malaya dan seorang mantan aktivis ABIM yang komited.

Buku setebal 270 halaman ini menghimpunkan pemikiran, pendirian, kenyataan, khutbah dan fatwa ulama tersohor dunia Syeikh Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi mengenai revolusi besar Pemuda Mesir dalam menuntut kebebasan dan agar Hosni Mubarak yang ketika itu Presiden Mesir meletakkan jawatannya dan menyerahkan kuasa kepada rakyat akibat daripada sejumlah penyelewangan yang beliau dan pentadbirannya lakukan dan kemarahan rakyat sudah tidak dapat dibendung lagi.

Buku ini juga merakam perjalanan seluruh proses kebangkitan rakyat di Mesir betapa bersatu padunya mereka menentang pemerintah zalim. Kekuatan inilah ditakuti oleh mana-mana pemerintah di dunia, namun apabila Allah menentukan keruntuhan sesebuah pemerintah zalim tiada siapa di dunia yang dapat menahan kehendak Allah itu. Allahu Akbar!.

Yusuf Al-Qaradhawi apabila ditanya oleh pengacara Al-Jazeera mengenai fatwa sebahagian ulama bahwa haram menyatakan bantahan terhadap pemimpin, malah wajib menurut perintah mereka. Mereka (ulama pro-Mubarak) mengulang-ulang fatwa ini sejak akhir-akhir. Jadi kami mengharapkan jawapan tuan bagi meleraikan kekusutan ini. Yusof Al-Qaradhawi menjawab bahwa ini merupakan salah faham terhadap agama kerana Islam mewajibkan ketaatan hanya kepada pemimpin yang menjunjung perintah Allah serta mempraktikkan keadilan, kemuliaan dan kebebasan. Ada pun pemimpin yang mengenepikan ketaatan kepada Allah, menzalimi rakyat, dan merompak harta dan warisan negara, maka bagaimana mereka boleh ditaati oleh rakyat? Ummat Islam telah sepakat bahwa tidak boleh mentaati makhluk pada perkara-perkara yang menyalahi perintah Allah. Dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Tiada ketaatan pada perkara-perkara maksiat. Sesungguhnya ketaatan itu hanya berlaku dalam perkara kebaikan” (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud dan Nasa’i).

Buku Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi setebal 270 halaman itu telah menaikkan bulu roma saya tentang betapa beraninya Prof Dr Yusuf menterjemahkan kandungan Al-Quraan dan Al-Hadith dalam menanggani isu kontemporari yang beliau sampaikan terhadap apa yang berlaku sehingga tergulingnya Presiden Hosni Mubarak yang memerintah Mesir selama 22 tahun. Seruan beliau yang menjurus kepada proses intifadah rakyat Mesir terhadap pemerintahan zalim Hosni Mubarak telah disampaikan melalui Saluran AlJazeera yang dapat didengar dengan jelas oleh para demonstran yang terdiri daripada golongan muda.

Dapat kita bayangkan betapa rakyat Mesir yang selama ini berada dalam ketakutan telah bangkit dengan semangat yang meluap-luap menentang pemerintahan yang zalim, pemerintah yang setiap masa mengawasi segala gerakan rakyat dan terus mematikan apa saja bantahan yang timbul. Tetapi apabila bantahan bertukar menjadi tsunami, pihak pemerintah tiada kuasa lagi bagi mematikan semua bantahan itu dan akhirnya terpaksa akur kepada kuasa rakyat di jalanan. Dataran Tahrir telah menjadi saksi hidup kepada kebangkitan rakyat Mesir yang inginkan perubahan.

Apakah iktibar atau pengajaran yang dapat kita petik dari peristiwa kebangkitan rakyat Mesir itu? Pertama ialah berlakunya ketidakadilan pemerintah terhadap rakyat. Pemerintah dipilih oleh rakyat agar membimbing rakyat kepada kebaikan secara adil dan penuh tanggungjawab. Apabila pihak pemerintah sudah mula merasai bahwa negara adalah milik mereka dan segala khazanah negara juga adalah milik mereka, maka rakyat sudah boleh merasai munculnya unsur-unsur ketidakadilan dalam masyarakat. Pada permulaan mungkin rakyat tidak kisah sangat tetapi sekiranya ketidakadilan itu bermaharajalela dan berterusan berlaku maka rakyat mempunyai batas tertentu kesabaran mereka. Mata rakyat akan pedih apabila melihat harta negara dimilik pribadikan secara sewenang-wenangnya, rasuah berleluasa, pihak penguasa bukan melindungi rakyat tetapi hanya melindungi kepentingan pemerintah, rakyat diabaikan kepentingan mereka. Yang mendapat layanan bukan yang bijak pandai tetapi yang kuat mengampu.

Koleksi daripada ketidakpuasan rakyat akan menimbung dan satu ketika akan meletup menjadi mala petaka hebat. Pada peringkat permulaan mungkin pemerintah dapat melenyapkan bantahan kecil dengan kekerasan tetapi lama kelamaan barah ketidakpuasan akan merebak apa lagi dengan dasar langit terbuka, informasi dapat mengalir deras melalui internet dan dapat diketahui umum segala keburukan yang ada kaitan dengan pemerintah. Apabila rakyat mula bangkit dan kebangkitan itu berterusan maka pemerintah akan hancur oleh tangan rakyat.

Para syuhada yang terkorban di Dataran Tahrir akan mendapat ganjaran dari Allah SWT dan perjuangan mereka untuk menyenangkan rakyat yang lain kemudiannya akan tetap dikenang, namun peranan Prof Yusuf Al-Qaradhawi dalam membangkitkan momentum penentangan terhadap kezaliman dan ketidakadilan yang terus dikenang. Sejak lama penentangan terhadap kezaliman dan ketidakadilan akan berlaku di mana-mana dan akan ada saja yang terkorban dalam menegakkan keadilan namun semua halangan dan penindasan itu akhirnya akan musnah dan kebenaran akan muncul walau pun memakan korban yang banyak seperti yang sedang berlaku di Syria sekarang ini. Kebenaran itu dari Allah, maka Allah akan memastikan agar kebenaran itu tertegak di mana-mana. Sekiranya kita gugur mempertahankan kebenaran, maka kematian kita adalah syahid dan pahalanya ialah syurga.

Suatu ingatan yang sangat tajam kepada pihak yang mempunyai kuasa, bahwa kuasa itu hadir dengan amanah dan tanggungjawab bukan suatu kesempatan untuk memperkaya diri. Laksanakan tanggungjawab sesuai dengan perintah Allah, bukan menuntut hak terlebih dahulu. Apabila tanggungjawab sudah dipenuhi maka ganjaran akan datang dengan sendirinya.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Ogos 2012.


Jumat, 17 Agustus 2012

Negara maju yang sejahtera dan bahagia

Gagasan 1Malaysia mempunyai dua (2) asas utama iaitu menyuburkan perpaduan dan membina negara maju. Ianya mempunyai tiga (3) teras perpaduan iaitu penerimaan, perlembagaan persekutuan dan rukun negara, dan keadilan sosial. Terdapat empat (4) nilai yang menyokong teras perpaduan iaitu hormat menghormati, rendah hati, kesederhanaan, dan berbudi bahasa. Diisi pula dengan empat (4) budaya progresif iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya inovasi dan budaya ilmu. Tercantum bersamanya empat (4) nilai-nilai aspirasi yang terdiri dari kebijaksanaan, kesetiaan, ketabahan dan integriti. Itulah gagasan 1Malaysia. Moto utama konsep 1Malaysia ialah rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Dalam bukunya yang bertajuk, “Budaya Ilmu dan Gagasan 1Malaysia Membina Negara Maju dan Bahagia”, Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud menggariskan misi utama beliau dalam menggarap monograf ini iaitu “bekerjasama dalam mencapai kebajikan dan rasa kasih dan takut akan Tuhan, dan tidak bekerjasama dalam hal-hal yang membawa dosa dan permusuhan (Surah Al-Maidah, ayat 2)”. Monograf 65 mukasurat itu telah diterbitkan oleh Akademi Kenegaraan BTN, edisi kedua 2012, cetakan pertama ialah tahun 2010.

Hakikat konsep 1Malaysia tidak mengasimilasikan kaum-kaum yang ada di Malaysia seperti yang cuba dilakukan di Indonesia dan beberapa negara lain tetapi mengintegrasikan mereka dengan mengekalkan identiti kaum masing-masing tetapi ditambah nilai kepada budaya masing-masing agar tidak berlaku bergeseran yang membawa kepada perpecahan, sebab itu diutamakan proses menyuburkan perpaduan dalam misi membina negara maju.

Saya tertarik untuk menyorot karya Wan Mohd Nor kerana menyentuh nilai akhlak yang tinggi dalam pembinaan negara maju, bukan material yang diutamakan. Beliau telah menengahkan konsep kesejahteraan dan kebahagiaan (sa’adah). Konsep ini sangat sesuai dengan konsep negara (baldatun toyyibah) yang diredhai oleh Allah S.W.T. Beberapa sarjana di United Kingdom telah mencipta Peta Kebahagiaan Global 2006 (A Map of Global Happiness 2006) yang meletakkan Malaysia pada tangga ke-17, sementara Denmark (5.5 juta penduduk) berada paling atas, diikuti Switzerland (7.5 juta) dan Austria (8.2 juta). Walau pun ukuran mereka tidak mengikut Al-Qur’aan dan Sunnah, namun pada asasnya mereka mempunyai pengukuran kesejahteraan dan kebahagiaan secara global yang boleh diterima oleh masyarakat umum. Jika Malaysia ingin meningkat ke tangga 10 negara paling sejahtera dan bahagia maka banyak lagi penambaikan yang mesti dilakukan. Mungkin kita akan cuba membuat kajian mengikut parameter yang ditetapkan oleh Al-Qur’aan dan Sunnah dalam menentukan negara sejahtera dan bahagia menurut pandangan Islam.

Didapati bahwa hampir semua negara yang berada di atas Malaysia dari nombor 1 hingga nombor 16 mempunyai rakyat yang homogenous (majoriti berbangsa tertentu dan beragama tertentu), ini berbeza dengan Malaysia yang mempunyai komposisi kaum yang berbagai dan menganut agama yang bermacam-macam. Kesukaran yang amat sangat terasa dalam memuaskan semua kehendak semua bangsa yang terdapat di Malaysia. Kecondongan kepada satu kaum akan melukai kaum yang lain dan begitulah sebaliknya. Dalam Bahasa Inggeris suasana ini disebut sebagai “delicate balance”, sebuah neraca timbangan yang sukar distabilkan. Sedikit sahaja berlaku ketidakadilan akan memusnahkan negara yang sekian lama dibina dengan berhati-hati. Sensitiviti kaum mesti dijaga dengan rapi dan berhemah. Semua tuntutan rakyat mesti dicari penyelesaian yang tuntas seperti menarik rambut dalam tepung, rambut boleh ditarik tanpa menyelerakkan tepung.

Pada halaman 14 hingga halaman 29, Prof Wan Mohd Nor menerangkan konsep Pohon Rimbun Ketatanegaraan Imam Al-Ghazali. Beliau menyatakan bahwa Hujjatul Islam Imam Abu Hamid Al-Ghazali (1111 masehi) pernah menulis sebuah kitab ketatanegaraan bagi para pemimpin Islam zamannya bertajuk “Nasihat untuk Raja-Raja (Nasihatul Muluk)”. Imam Al-Ghazali mengambil iktibar dari Surah Ibrahim, ayat 24 dan 25 bagi menyemai Budaya Ilmu dan tata cara pentadbiran negara yang berpandukan kepada kehendak Allah. Pohon ketatanegaraan Imam Al-Ghazali mempunyai 10 akar dan 10 dahan. Akarnya disuburkan dengan air kesedaran dan keinsafan tentang hakikat kematian, dan betapa harta itu hanyalah bersifat sementara di dunia dan tidak ada manfaatnya di akhirat jika ianya tidak digunakan bagi mensejahtera dan membahagiakan rakyat. Raja ialah tukang kebun yang diamanahkan bagi menjaga pohon keramat itu. Buahnya boleh dinikmati oleh rakyat jelata dan negara menjadi sejahtera dan bahagia.

Sesiapa yang ingin mendalami konsep negara sejahtera dan bahagia agar mendapatkan buku Prof Wan Mohd Nor dan menghayati konsep negara sejahtera dan bahagia. Kita tidak ingin mewariskan negara Malaysia tercinta yang kacau bilau kepada generasi akan datang di mana tiada keadilan tertegak dan tiada sejahtera terasa dan tiada bahagia tercipta. Kita ingin Malaysia sebuah negara maju yang berakhlak tinggi dan sesuai dengan perintah Allah S.W.T. sejahtera dan bahagia hidup kita.

Ismail Abdullah, USIM, 17 Ogos 2012.