Saya mengakui bahwa saya tidak menyertai mana-mana partai politik secara aktif. Tiap pilihan raya saya hadir untuk mengundi kerana itu kewajipan setiap warga Negara Malaysia yang mempunyai hak untuk mengundi. Siapa yang saya undi itu rahsia yang tidak boleh didedahkan kepada siapa pun. Mungkin akan tiba masanya saya perlu aktif namun saya akan lihat situasi dan kondisi dulu.
Persoalan yang ingin saya bangkitkan melalui tulisan ini ialah garis pemisahan antara pembuat dasar (parlimen), pelaksana dasar (kerajaan) dan pengadil (Sistem Kehakiman). Ketiga-tiga komponen ini mesti terpisah dan tidak harus ada persilangan antara mana-mana komponen itu. Berada di atas ketiga-tiga itu ialah Agung atau pun Raja Malaysia. Tiap negeri mempunyai raja-rajanya masing-masing.
Setiap rakyat akan membayar cukai mereka kepada kerajaan bagi yang cukup pendapatan untuk dicukai. Siapa yang berniaga membayar cukai melalui syarikat masing-masing, yang makan gaji akan membayar cukai melalui majikan.
Terdapat berbagai golongan rakyat Malaysia dalam menyuarakan pendapat mereka, ada yang memilih untuk berdiam diri dengan segala alasan mereka. Ada yang menyuarakan pendapat melalui blog, “facebook” dan lain-lain. Ada yang turun ke jalanraya, meniru beberapa Negara Arab dan Negara lain untuk menyatakan rasa tidak puashati mereka kepada pemerintah.
Sebagai ahli akademik dan penyelidik saya memilih untuk menulis blog untuk menyatakan keresahan masyarakat, setidak-tidaknya rasa tidak puashati masyarakat dapat disampaikan terutama apa-apa yang berkaitan dengan tekanan hidup yang dirasai sekarang ini. Gejala social yang berlaku. Ketidakadilan yang terjadi, dan sebagainya. Luahan rasa begini jangan dianggap sebagai menentang, tetapi hendaklah dianggap sebagai “amal makruf” dan “nahi munkar”, juga mesti dianggap sebagai input bagi membuat pembetulan atau koreksi diri agar keadaan Negara menjadi aman dan tenteram.
Ramai kawan2 sudah tidak membaca lagi akhbar arus perdana kerana kemiringan mereka kepada pemerintah. Terpampang di dada-dada akhbar arus perdana kutukan terhadap parti lawan dan parti lawan tidak ada cara untuk membalas kerana permit akhbar mereka disekat. Juga ramai yang sudah tidak menonton TV arus perdana yang tidak lain siarannya hanya mengutuk parti lawan padahal studio TV dan segala peralatannya adalah dibeli dari wang rakyat melalui cukai. Ada suara-suara yang mengatakan bahwa Negara jiran terbesar kita lebih demokratik.
Bagi saya, apabila pilihanraya selesai, semua rakyat berada di bawah kerajaan yang dibentuk, tidak kira siapa yang membentuk kerajaan. Pemerintah atau kerajaan mesti melihat semua rakyat Malaysia ialah rakyatnya bukan rakyat parti A atau parti B. Keadilan mesti ditegakkan dalam member layanan kepada rakyat. Tidak ada persoalan wang ehsan royalty minyak akan timbul dan sebagainya. Apabila kita melihat ada “double standard” dalam berbagai aspek, maka rakyat akan merasa mereka terpinggir dan timbul ketidakpuasan hati. Secara kumulatif, apabila ketidakpuasan ini bertumpuk-tumpuk akan terjadi ledakan untuk MEMBERSIHKAN keadaan, cara pembersihan itu akan bergantung kepada berapa beratnya kandungan ketidakpuasan tersebut. Apabila saluran biasa sudah tidak lut, maka saluran lain terpaksa dicari, misalnya dengan berjalan beramai-ramai dan sebagainya.
Mari kita jadi rakyat dan pemerintah yang perihatin dengan masalah rakyat.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar