Ahli politik hanya berfikir mengenai pilihanraya akan datang, tetapi negarawan berfikir tentang generasi depan. Itulah perbezaan yang sangat ketara antara watak seorang ahli politik dengan watak negarawan. Di Malaysia yang memenuhi criteria ini ialah Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Kedua Malaysia. Beliau telah meletakkan asas Malaysia moden dengan mewujudkan skim FELDA, FELCRA, MARA dan sebagainya sebagai persiapan masa depan Malaysia yang gemilang.
Persoalan sekarang apakah ada pemimpin Malaysia masa kini yang memikirkan untuk mempersiapkan generasi penerus untuk lima puluh (50) tahun yang akan datang? Bagi saya hal ini belum nampak, biasanya kita bersifat reaktif, bukan proaktif. Orang reaktif hanya menyelesaikan masalah bila masalah itu muncul, tetapi orang proaktif menyelesaikan hal-hal yang mungkin menimbulkan masalah pada masa depan. Jauh daripada waktu masalah itu akan timbul mereka sudah mempersiapkan penyelesaian.
Memang sukar untuk meramalkan masa depan, tetapi melalui hukum sebab dan akibat kita boleh membuat terkaan apa yang akan berlaku masa depan. Contohnya, kalau kita membiarkan rasuah bermaharajalela, negara akan hancur. Jika kita membiarkan masalah dadah berterusan, juga negara akan hancur. Juga, jika kita membiarkan sistem kehakiman dicerobohi oleh pelaksana dasar, negara juga akan hancur. Juga, jika kita membiarkan budaya “fitnah” hidup subur, maka negara juga akan hancur. Banyak hal hanya memerlukan akal sehat sahaja untuk melihat atau meramal kehancuran di hujung terowong. Jika keadilan tidak ditegakkan, negara juga akan hancur. Senarai ini akan bertambah panjang jika dihuraikan dan memerlukan ruang atau pentas yang lain untuk membicarakannya.
Saya ingin kembali kepada bagaimana cara Nabi Muhammad SAW, dengan pimpinan Allah SWT mempersiapkan generasi penerus dan membandingkannya dengan kaedah Nabi Isa dan Nabi Musa. Apakah secara kebetulan ketiga-tiga nabi mempunyai duabelas (12) nuqaba (pemimpin penerus) atau ada hikmah disebaliknya angka 12 itu. Hal itu perlu kita kupas pada waktu yang lain.
Ketika hendak memilih nuqaba (jamak bagi naqib) Nabi Muhammad SAW mengadakan pertemuan umum di Aqabah (Mina) yang dihadiri oleh 73 orang Arab Madinah, termasuk dua (2) orang wanita. Mereka mencari kata sepakat untuk menyambut kedatangan Nabi berhijrah ke Madinah. Mereka semua tahu risiko tanggungjawab ini yang perlu mereka hadapi iaitu sekatan dan halangan kafir Quraisy yang memusuhi Nabi. Semuanya bersedia mengorbankan harta dan nyawa bagi kejayaan hijrah Nabi ke Madinah. Kesemua mereka digelar sebagai Kaum “Al-Anshar”.
Daripada sejumlah 73 orang, Nabi telah memilih 12 orang seperti berikut; Abu Umamah As’ad bin Zarrah, Sa’ad bin Ar-Rabi’, Abdullah bin Ruwahah, Rafi bin Malik bin Al-‘Ajlan, Al-Barra bin Ma’rur, Abdullah bin Amr bin Haraam, Ubbadah bin Shamit, Sa’ad bin Ubbadah, Al-Mundzir bin Amr bin Hunais, Usaid bin Hudhair, Sa’ad bin Khaitsamah, dan Rifa’ah bin Abdul Mundzir. Sembilan nuqaba yang pertama adalah dari Bani Khazraj dan tiga terakhir dari Bani Aus. Kriteria pemilihan telah ditetapkan oleh Nabi dan mereka adalah pahlawan, pelopor dan pembela agama Allah. Sanggup berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Setia dan komited kepada perjuangan Islam dan sanggup mempertahankan kepemimpinan Rasulullah SAW.
Sangat berbeza dengan semangat juang 12 nuqaba yang berada di bawah Nabi Musa AS iaitu Syammia bin Zakur, Safat bin Hori, Kaleb bin Yafuna, Yijal bin Yusuf, Yosea bin Nun, Falti bin Rafu, Gajal bin Sadi, Gadi bin Sosi, Amial bin Gamali, Setur bin Mikhail, Nakhbin bin Wafsi, dan Guil bin Makhi. Daripada 12 orang, sepuluh (10) orang adalah penakut, hanya dua (2) orang saja yang berani iaitu Kaleb dan Yosea. Oleh kerana kegagalan 10 naqib ini melaksanakan tanggungjawab mereka, Bani Israel telah dikurung di Padang Tiyah selama 40 tahun, menunggu orang-orang yang seangkatan dengan mereka hapus di dunia dan diganti dengan generasi baru.
Sementera Nabi Isa AS juga melantik 12 orang nuqaba bagi membantu perjuangan beliau iaitu Simon (Peterus), Andreas, Ya’kub, Yahya, Philipus, Bortolomius, Thomas, Matius, Ya’qub, Tadius, Simon (dari Kanaani) dan Yudas. Perkara ini disebut dalam Kitab Injil Karangan Matius Fasal 10, ayat 2 hingga 4. Mereka tidak ada sifat pejuang yang gagah berani. Hanya yang terkemuka diantara 12 orang itu hanyalah Simon (Peterus), itu pun akhirnya beliau mengkhianati Nabi Isa dengan tidak berani mengaku sebagai murid Nabi Isa ketika Nabi Isa ditangkap oleh pemerintah zalim pada ketika itu. Yang paling menyedihkan sekali ialah Yudas yang telah menjual Nabi Isa dengan harga 30 keping wang perak. Akhirnya beliau (Yudas) yang disalib kerana disangka beliau Nabi Isa.
Sebenarnya Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS tidak gagal dalam misi mereka, Allah SWT menjadikan mereka sebagai tauladan kepada kita agar menjadikan kisah ini sebagai pengajaran dengan menetapkan criteria yang betul dalam pemilihan pemimpin. Nabi Muhammad SAW memilih dari satu kelompok yang besar iaitu 73 orang, disaring dengan segala ujian ketahanan dan akhirnya 12 orang yang memenuhi ciri-ciri perjuangan dan kredibiliti yang terbaik.
Sebenarnya Malaysia sudah berada pada landasan yang betul dengan menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pemersatu bangsa dan Negara Malaysia, dan menetapkan juga Agama Islam sebagai agama rasminya. Bahasa Melayu telah ditetapkan sebagai Bahasa Pengantar semua pendidikan di Malaysia dan penerapan nilai-nilai Agama Islam sebagai tatacara hidup rakyat Malaysia, tanpa memaksa bangsa lain menganut Agama Islam, kecuali mereka menerima secara sukarela Agama Islam. Tetapi telah ada tangan-tangan jahil yang telah mempermainkan kedua-dua isu tersebut sehingga kita hampir kehilangan arah tujuan sebagai sebuah Negara bangsa yang berdaulat. Bahasa Inggeris diagung-agungkan sehingga menganaktirikan bahasa Melayu yang sepatutnya menjadi bahasa pemersatu. Agama Islam diperlekehkan dalam perlaksanaannya. Semoga kita cepat sedar, dan tampil menjadi negarawan yang sayangkan Negara, bukan menjadi politikus yang hanya memikirkan kursi setiap lima tahun menjelang.
Betapa muflisnya orang-orang yang hanya memikirkan untuk memperkayakan diri dan membiarkan negara dan masyarakat umum terumbang ambing dalam menentukan arah tuju. Kita berdoa agar mereka yang terlanjur ini segera sedar dan memperbaiki diri.
Negara sebenarnya memerlukan tim pemikir (think tank) yang dapat menumpukan fikiran ke tujuan memakmur dan menyelamatkan Negara tercinta Malaysia dengan mencipta jatidiri sendiri bukan mengikut telunjuk Barat yang anti Islam. Jauh sekali daripada mengikut pemimpin-pemimpin yang serakah, tidak mempunyai matlamat dan terumbang ambing dengan suasana masyarakat. Pemimpin yang seharusnya memimpin bukan dia yang dipimpin oleh orang lain yang tidak ada kaitan langsung dengan kepemimpinan Negara. Tunggulah kehancuran sesebuah Negara jika peranan yang tepat tidak diserahkan kepada yang pakar, para-para “tikus” yang cuba memperbaiki “labu” hanya akan merusakkan labu itu saja, jauh sekali daripada memperbaikinya. Letakkan manusia yang tepat dan pakar dengan kebolehan mereka pada posisi penting agar Negara kita selamat.
Sama-samalah kita mencintai Negara kita dan cuba menyelamatkannya daripada dirosakkan oleh tangan-tangan jahil.
Wallahu a’lam
Ismail Abdullah, Teras Jernang, 8 September 2011.
Nota: mengenai 12 nuqaba (lihat Al-Maidah, ayat 12) dan Tafsir Al-Azhar, Juzu’ VI, oleh Buya Hamka.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar