Kamis, 01 September 2011

Ulasan Buku Najib Perdana Menteri Terakhir

Buku di atas dikarang oleh Shahbudin Husin, Naib Ketua Pemuda dan AJK UMNO Bahagian Wangsa Maju serta AJK Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan sesi 2004-2008. Buku yang masih panas terbitan tahun 2011 memuat setebal 330 mukasurat dan dijual di pasaran Semenanjung dengan harga RM 20.00 dan Sabah Serawak seharga RM22.00. Buku ini dikira sebagai sebuah buku yang berani mendedahkan kelemahan UMNO dalam persekitaran politik Malaysia kini.

Dalam bahagian “Bingkisan Penerbit” didedahkan tujuan penulisan buku ini, “….buku ini lahir tidak lain atas inisiatif sebagai rakyat Malaysia dan juga sebagai pembayar cukai yang sentiasa inginkan perubahan dan kebaikan untuk rakyat dan Negara ini. Rakyat adalah keutamaan buku ini….”.

Harapan utama buku ini ialah akan lahir sebuah sistem politik dua parti yang silih berganti memerintah berdasarkan kekuatan parti bagi menyelesaikan masalah masyarakat, bukan berdasarkan siapa yang boleh dihina hingga begitu pedih sekali dengan berbagai-bagai fitnah yang dicipta. Pada akhirnya, yang perlu diutamakan ialah rakyat bukannya pemimpin.

Pada mukasurat vii dinyatakan dengan jelas tujuan di atas dalam penulisan buku ini iaitu untuk mengemukakan sistem dua parti,

…. Sistem dua parti dan kerajaan yang boleh bertukar ganti. Sistem ini sebenarnya baik untuk rakyat kerana rakyat akan sentiasa memperolehi pemimpin dan kerajaan yang lebih bertanggungjawab serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat….

Pada pendapat penulis blog ini, politik yang cuba mengaibkan pihak lawan bukanlah satu strategi politik yang sehat. Apa lagi dalam hal-hal yang memerlukan dua saksi lelaki yang melihat sendiri secara empat mata sesuatu kejadian itu berlaku.

Paling elok, gunalah Strategi Samudera Biru (Blue Ocean Strategy) bagi membuktikan kita lebih baik daripada lawan politik kita. Lakukan pembaharuan yang boleh menguntungkan rakyat dan elakkan perbuatan menakut-nakutkan rakyat dengan berbagai-bagai ancaman, sambil bekerja keras menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan ahli politik dan kakitangan pemerintah. Melalui cara itu keyakinan rakyat terhadap pemerintah akan bertambah baik. Ingatlah bahwa kekuasaan bukanlah suatu kemudahan, tetapi ianya suatu tanggungjawab yang mesti ditunaikan sehingga boleh membezakan antara hal-hal pribadi dengan hal-hal pentadbiran pemerintahan seperti terjadi pada zaman Khalifah Umar Abd Aziz, meski pun dalam hal kecil seperti menggunakan kemudahan awam untuk kemudahan pribadi, misalnya kereta pejabat digunakan untuk berbelanja ke pasar membeli makan minum pribadi.

Pada mukasurat 1, baru dimulai buku ini dengan tajuk “Sarawak Pemangkin Kejatuhan BN”. Dinyatakan bahwa undi BN merosot dengan jelas sekali pilihanraya demi pilihanraya. Faktor Taib Mahmud menjadi sebab utama kemerosotan itu. Beliau telah terlalu lama memegang kuasa. Pengundi Cina tetap akan mengundi parti lawan biar apa pun konsep yang dikemukakan seperti konsep 1Malaysia misalnya. Media massa pro-kerajaan yang banyak memburuk-burukan parti lawan juga turut menyumbang kepada kemerosotan undi BN kerana ianya menjadi senjata makan tuan.

Dalam bahagian berikutnya, penulis buku ini menyatakan secara panjang lebar apa yang berlaku dalam UMNO di mana pemimpin lama yang ditolak rakyat dalam PRU ke-12 tahun 2008 masih berkuasa dan tiada perubahan drastik berlaku di peringkat bawah walaupun perubahan berlaku di peringkat atas parti UMNO. Gejala rasuah dikatakan berleluasa berlaku dalam UMNO dan pemimpin hanya berminat untuk mendaki hiraki kepemimpinan UMNO daripada menyelesaikan masalah rakyat bawahan.

Beliau turut mengupas gagasan 1Malaysia yang pada awalnya bertujuan menyatupadukan rakyat berbilang kaum, kini menjadi medan tuntutan samarata oleh kaum lain terhadap Bangsa Melayu. Tindakan kaum lain menggunakan konsep 1Malaysia bagi mendapatkan hak biasiswa, kuota masuk universiti dan lain-lain cukup menggusarkan perasaan orang Melayu yang masih lemah dalam segala segi kehidupan. Akhirnya konsep itu menjadikan rakyat makin terpecah dan tujuan asal tidak tercapai bagi perpaduan rakyat berbilang kaum. Melayu akhirnya akan menjadi rakyat kelas kedua mengikut penulis buku ini.

Dalam Bab 8, akronim BN dinyatakan sebagai Barang Naik. Ini suatu sindiran terhadap Barisan Nasional yang tidak mampu mengawal kenaikan harga barangan yang rancak berlaku sekarang ini akibat daripada pengurangan subsidi seperti yang dicadangkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Idris Jala. Hal ini sangat membebankan rakyat bawahan. Hampir semua barangan keperluan mengalami kenaikan harga dan akhirnya rakyat miskin tidak mampu untuk meneruskan kehidupan akibat kekurangan dana untuk membeli barangan keperluan. Ini akan menambah “luka” rakyat terhadap kerajaan BN.

Bab 10 lebih sensasi lagi dengan tajuk “Rosmah punca rakyat tolak UMNO”. Disebut secara jelas bahwa ramai pemimpin luar Negara yang melawat Malaysia turut mengadakan pertemuan dengan isteri Perdana Menteri itu. Ini termasuklah pertemuan Lee Kuan Yew, Mantan Perdana Menteri Singapura yang mengadakan pertemuan khususnya dengan Rosmah Mansor (RM). Perkara ini tidak pernah terjadi semasa pemerintahan Perdana Menteri yang sebelumnya. Tentulah RM mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam keputusan politik di Malaysia. Pada mukasurat 127 dalam buku ini tertulis perkataan “First Lady” yang digunakan semasa lawatan Perdana Menteri ke Amerika dan iklan kedatangan Perdana Menteri beserta isteri dengan istilah di atas tertera dalam akhbar “The New York Times”.

Pada muka surat 140, Shahbudin Husin menulis:

“Barangkali atas kepercayaan bahawa untuk melumpuhkan Anwar dan PKR ia harus dilakukan dengan melakukan serangan pribadi semaksimum mungkin melalui orang yang pernah rapat dengan pemimpin pembangkang itu, maka itulah Ezam diperguna dan diperalat semahunya untuk mencapai hasrat itu. Sebab itu Ezam sering muncul dengan pelbagai pendedahan dan kecaman mengenai Anwar……”.

Terdapat banyak lagi perenggan buku ini yang menceritakan plot-plot menjatuhkan kredibiliti pembangkang dengan menggunakan isu peribadi yang menjijikkan. Seharusnya serangan ditujukan kepada projek pembangkang yang tidak bermanfaat kepada rakyat yang sepatutnya diserang, bukan dengan menelanjangkan peribadi orang bagi mendapatkan kuasa. Suatu suasana politik yang sangat muflis dan terlalu kotor untuk diwariskan kepada generasi berikutnya.

Buku yang setebal 330 mukasurat tidak mampu untuk saya menghuraikan sepenuhnya dan saya mencadangkan pembaca mendapatkan buku tersebut dan membaca sendiri. Kemudian membuat analisa tentang perkara-perkara yang dibangkitkan secara analitik dan kritikal. Saya tetap mengkategorikan buku ini sebagai sebuah buku “Ramalan Politik” seperti yang pernah ditulis oleh peramal-peramal politik yang lain. Sifat sebuah ramalan ada dua iaitu mungkin benar dan mungkin salah. Hakikatnya hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Kita berdoa agar agama Islam tetap dipertahankan walaupun asakan pihak yang ingin memadamkan cahaya Islam sangat gencar, mereka tidak mungkin dapat berbuat demikian kerana Allah menjamin kelangsungan Islam sebagai agama sempurna untuk manusia sejagat.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 1 September 2011.