Sabtu, 03 September 2011

Apakah Dajjal sudah muncul?

Buku elektronik terbaru mengenai Dajjal boleh dimuatturun dari website ini, karangan Mohammad Bayazeed Khan Panni, warga Bangladesh, buku ini telah diterbitkan pada tahun 2009, mempunyai 146 mukasurat.

Apakah kita tahu Dajjal yang anti-Kristian dan bermata satu itu telah muncul 473 tahun lalu dan telah dikenalpasti? Nabi Muhammad SAW telah menceritakan hal tersebut yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam koleksi hadith shohehnya. Dajjal mengaku sebagai Tuhan. Dia mengaku mempunyai syurga dan neraka. Syurga Dajjal sebenarnya adalah neraka dan nerakanya Dajjal adalah syurga kita (Hadith Bukhari dan Muslim).

Bertolak belakang seratus lapan puluh darjah dengan konsep kita sebagai seorang penganut Islam. Dajjal mendakwa mempunyai habuan yang besar dan akan membahagi-bahagikan di kalangan penyokongnya jika mengakui dia sebagai tuhan. Mereka mempunyai kekayaan melimpah ruah, sementara yang menentang tidak diberikan apa-apa, malah dikenakan tindakan dan sekatan (embargo). Melalui cara ini Dajjal memaksa ummat Islam menjadi miskin dan tertinggal.

Nabi Muhammad SAW mengatakan bahwa Dajjal adalah bahaya yang sangat besar dan merupakan suatu fenomena yang sungguh dahsyat menimpa ummat manusia sejak manusia diujudkan sehinggalah kiamat. Nabi Muhammad SAW memohon Allah melindungi beliau dan ummatnya daripada fitnah Dajjal yang sangat dahsyat ini (Hadith Bukhari).

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahwa siapa yang menentang Dajjal dan mati kerananya dianggap mati syahid seperti syuhada perang Badar dan Uhud (Hadith Bukhari dan Muslim).

Dalam buku yang ditulis oleh Muhammad Bayazeed Khan Panni itu dinyatakan bahwa kumpulan mereka yang digelar sebagai “Hezbut Tawheed (HT)” secara aktif mendedahkan identiti sebenar Dajjal dan menolaknya. Menurut dakwaan kumpulan ini bahwa tidak ada kumpulan lain yang dengan tepat mengenalpasti gergasi besar yang dinamakan Dajjal dan mencuba menentangnya. Oleh kerana itu mereka (Kumpulan Hezbut Tawheed) mendakwa berasaskan hadith Nabi, mendapat status syahid yang masih hidup dan bernafas. Selanjutnya mereka (HT) mendakwa bahawa syahadat yang diucapkan oleh kumpulan itu bukanlah kosong, kerana bukti sudah didokumenkan dan juga disediakan oleh Allah SWT.

Buktinya menurut sains perubatan, dalam masa dua (2) jam selepas kematian seseorang, mayat akan menjadi keras. Dalam masa duabelas (12) jam berikutnya pula mayat akan keras seperti kayu dan menjadi sejuk bagaikan ais. Selepas duapuluh empat (24) jam mayat akan mula menjadi lembut dan mula membusuk. Proses ini disebut sebagai “Rigor-Mortise” yang membuktikan kematian seseorang. Semua mayat manusia atau binatang akan melalui proses yang sama.

Kumpulan ini mendakwa bahwa proses “Rigor-Mortise” ini tidak berlaku kepada ahli kumpulan HT. Dalam kes di mana siapa saja anggota HT yang meninggal, mayat mereka tidak menjadi keras dan suhu tidak bertukar menjadi tidak normal. Mayat masih berada pada suhu normal dan mayat fleksibel. Dalam satu kes kondisi mayat tetap sama seperti baru meninggal walaupun selepas 27 jam. Mereka bukan terbunuh dalam peperangan, tetapi meninggal cara biasa kerana sakit dan sebahagian meninggal kerana kemalangan kenderaan. Bukan satu atau dua kes seperti ini, tetapi banyak dan semuanya ada dokumen dengan nama saksi dan tandatangan, yang boleh disediakan bila perlu. Fakta yang terjadi bahwa mayat tidak menjadi keras sangat bertentangan dengan semua hukum perubatan dan kejadian yang tidak diduga berlaku. Persoalannya, apakah alasan bagi semua kejadian ini, di mana hukum alam tidak dipatuhi.

Penjelasan yang tepat ialah bahwa Allah SWT menerima penentang-penentang terhadap Dajjal dari kumpulah HT sebagai syahid, malah syahid memasa mereka masih hidup lagi. Hal ini telah disahkan oleh Allah melalui Surah Al-Baqarah, ayat 154;

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu) mati, bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya” (Al-Baqarah, 154), dan Surah Ali-Imran, ayat 169;

“Dan janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki” (Ali-Imran, 169).

Jadi, para syuhada adalah makhluk yang hidup di sisi Allah. Nabi Muhammad SAW merujuk kepada mereka yang menentang Dajjal sebagai syuhada yang masih hidup.

Menurut kata-kata Allah dan Rasul, sesiapa yang menentang Dajjal pada akhir zaman seperti anggota HT tidak mati, mereka adalah syuhada, mereka sebenarnya menerima hadiah dua syuhada walaupun masih hidup. Berdasarkan alasan ini mayat mereka tidak melalui proses biasa yang disebut sebagai “Rigor-Mortise”. Mereka mendakwa bahwa Tamadun Yahudi-Kristian sebagai Dajjal.

Sebagai catitan dan juga peringatan, saya ingin menyatakan bahwa dakwaan kumpulan Hezbut Tawheed bahwa anggota mereka adalah syuhada perlu diperhalusi lagi dan jangan menerimanya bulat-bulat kerana hanya Allah SWT sahaja yang berhak menilai segala amalan kita. Ini jelas dinyatakan dalam Surah At-Taubah, ayat 105;

“Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, lalu Allah, RasulNya serta orang-orang mu’min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (At-Taubah, 105).

Ayat di atas menerangkan bahwa setiap orang tidak tahu berapa tabungan amalnya pada masa di dunia, nanti di akhirat baru Allah akan beritahu tentang amal kita. Kumpulan HT sudah siap memberi penilaian diri sendiri, pandangan ini bertentangan dengan ayat di atas.

Menurut Kumpulan HT, persoalan besar timbul, kenapa ummat Islam sekarang berada dalam keadaan yang sangat mengaibkan? Kata kumpulan HT, alasan yang jelas dan asas ialah ummat Islam sekarang ini bukan mukmin, malah tidak Islam dan jauh daripada menjadi ummat Nabi Muhammad SAW walaupun mereka mendakwa demikian. Islam zaman mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dengan Islam sekarang sangat jauh berbeza, malah bertentangan. Terdapat tiga (3) alasan asas kenapa hal ini terjadi. Pertama, akidah yang salah, kedua, konsep yang salah tentang tauhid dan ketiga salah faham tentang konsep ibadah.

Sekali lagi kumpulan ini memasuki suatu polimik besar dengan menuduh kumpulan lain tidak mengamalkan Islam yang betul. Tulisan ini tidak bermaksud ke arah itu kerana fungsi penulisan saya ini hanya ingin mendedahkan bahwa sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka Hezbut Tawheed telah menyatakan bahwa Dajjal seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW telah lama ujud iaitu Tamadun Yahudi-Kristian.

Kesepakatan Yahudi-Amerika-Britain memerangi Iraq, Afghanistan, Libya dan lain-lain mungkin merupakan sebahagian daripada perancangan Dajjal yang berselindung di sebalik kuasa Barat untuk menghancurkan Islam. Negara-negara Islam yang kaya seharusnya sedar bahwa wang ringgit mereka digunakan untuk membunuh saudara Islam kita di Negara-negara di atas dan kemungkinan besar di Negara-negara yang menentang mereka pada masa hadapan.

Nampaknya wang Negara Islam terus mengalir ke Barat yang diistilahkan sebagai pelaburan dalam bolasepak, pembelian senjata dan lain-lain. Secara halus wang itu juga akan mengalir ke Israel yang cuba menghancurkan Palestin dengan sokongan Amerika dan Barat.

Kita sangat berharap Negara-negara Islam yang kaya cepat insaf dan bersatu untuk menentang Tamadun Yahudi-Kristian yang akan menjahanamkan ummat Islam nanti.

Wallahu A’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 4 September 2011.