Jumat, 03 Agustus 2012

Arab Springs dan Ikhwan Al-Muslimin

Pengenalan

Saya mengikuti dengan penuh minat Forum Arab Springs Ikhwan Al-Muslimin yang diadakan pada 3 Ogos 2012 mulai jam 3.00 petang hingga 8.00 malam bertempat di Dewan Kuliah Fakulti 1.2 (DKF1.2), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Turut hadir ialah Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Muhammad Bin Muda.

Forum yang dipengerusikan oleh Prof Dr Zulkifli Abdul Ghani telah mengetengahkan tiga tokoh iaitu Prof Dato Dr Ridzuan Othman, Dekan Fakulti Sastra, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dr Solah Mohd Zaki Mohd Ibrahim, Pensyarah FKP, USIM asal Mesir.

Forum yang turut dihadiri oleh pelajar Tamhidi USIM dan pelajar-pelajar dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) serta pensyarah dari USIM dan beberapa universiti tempatan telah dapat menarik minat peserta yang memenuhi dewan dan dengan penuh khusuk mendengar penyampaian ketiga-tiga ahli panel yang memang pakar dalam bidang masing-masing.

Kejadian “Arab Springs” yang bermula dari Algeria ke Yaman, kemudian ke Libya, seterusnya ke Mesir, dan kini sedang mengamuk di Syria akan terus berlaku sekiranya kerajaan negara-negara Arab mengabaikan aspirasi rakyat mereka.

Penyampaian telah dimulai oleh Dr Solah Mohd Zaki dengan tajuk, “Siapakah Golongan Ikhwan Muslimin?”, apakah matlamat kewujudannya, apakah cara untuk mencapai matlamat yang mereka gariskan dan seterusnya.

Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Assyahid Hassan Al-Banna telah ditubuhkan pada 22 Mac 1928 di Kota Ismailiyah, Mesir. Pertubuhan ini bertujuan untuk menegakkan agama Allah iaitu Islam secara syumul (sepadu) persis seperti apa yang telah diperjuangkan oleh Rasulullah SAW sejak beliau diutuskan menjadi Rasulullah. Berdakwah ke seluruh ummat manusia tidak kira di mana mereka berada. Hassan Al-Banna telah menulis risalah beliau dengan jelas dan menggariskan perjuangan menegakkan Islam yang syumul.

Hasan Al-Banna telah mentakrifkan perjuangan beliau melalui kata-kata, “kami bukan persatuan kebajikan, bukan juga parti politik, bukan juga badan yang dibentuk untuk tujuan tertentu, tetapi kami adalah roh yang baru yang mengalir dalam hati ummat ini yang dihidupkan oleh al-Quraan, cahaya yang baru yang bersinar sehingga menghilangkan kegelapan kebendaan menerusi pengenalan mengenai Allah (makrifatullah) dan suara yang berkumandang melaungkan dakwah Rasulullah SAW”.

Hasan Al-Banna telah dilahirkan pada 14 Oktober 1906 masihi bersamaan dengan 25 Sya’ban 1324 hijriah dengan nama penuh beliau ialah Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna. Ayah beliau Syaikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna adalah seorang alim dari Universiti Al-Azhar pakar dalam bidang Syariah. Kisah-kisah Hasan Al-Banna terdapat dalam banyak buku dan makalah dan gerakan Ikhwan al-Muslimin banyak menjadi kajian ilmiah pelajar peringkat Master dan Doktor Falsafah di banyak universiti di dunia.

Bagaimana tercetusnya Arab Springs

Ahli Panel Kedua ialah Prof Dato Dr Ridzuan Othman yang membawa tajuk “Ikhwan Muslimin dan Masa Depan Geo-Politik Mesir dan Timur Tengah” dan beliau dengan bersemangat dan menarik minat peserta forum telah kesuntukan masa untuk menerangkan secara tuntas hujjah beliau yang sarat data, persembahan “powerpoint” beliau dipenuhi dengan foto-foto mengenai Revolusi Mesir menjatuhkan Hosni Mubarak.

Pada dasarnya kebangkitan rakyat di negara-negara Arab yang bergolak disebabkan rasa tidak puashati rakyat terhadap pemerintah semasa. Kadar pengangguran semakin bertambah, kesempitan hidup sangat terasa, sementara pemerintah berfoya-foya dengan kekayaan negera tanpa mempedulikan jeritan rakyat kecil. Rakyat dibiarkan jumud tanpa pendedahan kepada dunia luar, rakyat Mesir merasa seolah-olah merekalah yang paling hebat di dunia ini akibat daripada propaganda pemerintah dalam proses memperbodohkan rakyat.

Rakyat Mesir berada dalam ketakutan sebelum revolusi yang tercetus pada 25 Januari 2012 kerana di setiap penjuru ada saja mata-mata pemerintah yang akan melaporkan penentangan rakyat terhadap pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak. Piliharaya diadakan dengan kawalan ketat tentera dan hanya seorang calon sahaja yang bertanding, jadi sudah tentu calon yang satu itu saja yang menang setiap kali piliharaya diadakan selama 22 tahun pemerintahan Hosni Mubarak. Tun Mahathir sangat disanjung di Mesir kerana berupaya membangun Malaysia selama 22 tahun memerintah, tetapi Hosni Mubarak tidak berbuat apa-apa untuk pembangunan Mesir selama 22 tahun pemerintahan beliau.

Peranan fesbuk (facebook), twitter dan teknologi maklumat secara umum telah membuka mata rakyat Mesir kepada dunia, barulah mereka tahu bahwa Mesir jauh ketinggalan dalam semua aspek pembangunan. Melalui cakera satelit mereka telah dapat membuat perbandingan kemajuan dunia dengan kemajuan yang ada di Mesir. Golongan pertengahan (middle class) telah memulakan revolusi di Mesir dan sejak tercetusnya revolusi pada 25 Januari 2012 rakyat Mesir sudah mula berani menentang pemerintah kuku besi Hosni Mubarak yang akhirnya membawa kepada kejatuhan diktator itu.

Sejak zaman Jamal Abd Nasir sehinggalah kepada zaman Hosni Mubarak pergerakan Ikhwan Muslim terus ditindas. Ketua-ketua mereka sama ada merengkok dalam penjara atau mati di tali gantung atau pun di muncung pistol atau senapang. Itulah harga yang harus dibayar oleh pejuang di Jalan Allah (fi sabilillah). Hasan Al-Banna dan ahli-ahli dalam gerakan Ikhwan Muslimin telah mewakafkan diri dan harta mereka untuk perjuangan ini. Setelah ditindas dengan hebat selama lebih daripada 83 tahun Ikhwan Muslimin bangkit untuk membela rakyat Mesir yang memerlukan keadilan dan pembangunan.

Di manakah letaknya kekuatan Ikhwan Muslimin sehingga boleh bertahan begitu lama? Menurut Prof Ridzuan Othman, ada dua faktor iaitu Usrah dan Tarbiyah. Usrah ialah pertemuan mingguan ahli gerakan Ikhwan Muslimin dari rumah ke rumah dan Tarbiyah ialah kaedah pendidikan yang disertai dengan komitmen ahli secara sepenuh hati kepada Jamaah Ikhwan Muslimin. Dalam setiap usrah diwajibkan membaca wirid al-Ma’thurat, sebuah susunan wirid yang diambil daripada amalan Rasulullah SAW dan disusun semula oleh Assayyid Hasan Al-Banna bertujuan mempertautkan hati setiap jamaah antara satu dengan yang lain. Dalam tarbiyah pula diadakan tarbiyah ruhiyyah, badaniyah dan keilmuan supaya setiap ahli memahami segala aspek Islam yang syumul itu.

Hampir kesemua negara Arab yang berjumlah lebih daripada 22 buah negara memberikan tumpuan kepada ketenteraan. Pada asasnya mereka sangat takut kepada kebangkitan rakyat seperti yang sedang berlaku sekarang ini di Syria. Hampir semua negara Arab yang miskin sudah bertukar kerajaan, namun negara-negara Arab yang kaya masih lagi bertahan buat sementara waktu kerana mereka menggunakan kewangan mereka untuk membeli senjata dan terus menakutkan rakyat dengan siksaan yang tidak terkira.

Gaji pejawat awam di Arab Saudi misalnya telah dinaikan berkali-kali ganda agar rakyat tidak memberontak. Arab Saudi yang mempunyai penduduk seramai 29 juta orang ditadbir oleh sebuah keluarga yang terdiri dari 2,000 orang. Jalan termudah bagi mengasyikkan rakyat ialah dengan memberikan kemewahan yang tiada taranya, dengan itu mereka tiada penderitaan dan akhirnya tiada penentangan. Jika ada pun penentangan yang kecil, segera mereka dihapuskan secara senyap dan keadaan akan kembali normal. Namun apabila rakyat semakin cerdik pemerintah yang demikian akan tumbang juga satu ketika nanti.

Kesan Arab Springs kepada Malaysia

Dalam penyampaian yang bertajuk, “Ikhwan Muslimin dalam Demokrasi Mesir dan Hubungannya dengan Gerakan Islam di Malaysia” ahli panel ketiga iaitu Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir menghuraikan lebih lanjut mengenai kesan Arab Springs kepada politik Malaysia.

Oleh kerana keterbatasan waktu beliau telah memberi fokus kepada manhaj (kaedah) Ikhwan Muslimin yang diterapkan di Malaysia melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), PAS dan Jamaah Islah Malaysia (JIM). ABIM misalnya telah menggunakan kaedah usrah dan tarbiyah bagi mendidik ahlinya dalam matlamat ABIM bagi mempraktekkan Islam yang syumul di kalangan ahlinya.

Menurut ahli panel kedua, Prof Dr Ridzuan Othman bahwa ABIM tidak dipengaruhi terus oleh tokoh-tokoh Ikhwan di Mesir tetapi telah dipengaruhi oleh tokoh-tokoh Ikhwan yang berhijrah ke Barat (terutama England), kesederhanaan manhaj Ikhwan telah berupaya menggerakkan ABIM ke arah mewujudkan masyarakat Islam yang bersepadu keilmuannya secara duniawi dan ukhrawi. Kelahiran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) telah diasaskan oleh ahli-ahli ABIM yang berada di Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mengutamakan “Islamisasi” ilmu dan kesepaduan ilmu.

Dalam pertemuan Meja Bulat selepas solat Asar berjamaah, Prof Dr Ridzuan mengatakan bahwa Arab Springs tidak akan mempengaruhi politik Malaysia. Beliau berkata demikian berdasarkan geo-politik kedua-dua negara. Mesir ketika berlakunya pergolakan revolusi rakyat, berada pada tahap yang paling buruk dalam pemerintahan Hosni Mubarak dengan pengangguran yang tinggi, sosio-eknomi yang kacau dan pemerintahan yang menindas. Rakyat Mesir dibiarkan “buta maklumat” dengan menyekat akses ke dunia luar dan segala bentuk penentangan segera dihapuskan. Ini sangat berbeza dengan keadaan Malaysia yang berada pada tahap pembangunan yang stabil, keilmuan rakyat yang meningkat dan sosio-ekonomi yang mantap.

Perbincangan Meja Bulat yang dipengerusikan oleh Naib Canselor USIM, Prof Dr Muhammad Bin Muda dan dihadiri oleh golongan muda menyeru agar golongan muda meningkatkan kefahaman tentang situasi politik semasa dan membuat analisa yang tepat. Mendalami Islam sebagai ad-dien yang dapat memberi petunjuk kepada kebenaran Islam yang syumul (sepadu dan lengkap). Kekuatan Ikhwan Muslimin terletak kepada ilmu, para pemimpin mereka banyak menulis dan menyebarkan keilmuan Islam yang bersepadu melalui buku-buku mereka yang tersebar luas ke seluruh dunia.

Budaya Usrah dan Tarbiyah yang pengisiannya penuh dengan keilmuan Islam yang mantap perlu disemarakkan segera agar kita dapat melahirkan generasi rabbani yang diperlukan Malaysia yang aman, makmur dan stabil. Kerahmatan Islam sejagat akan dapat dirasai oleh kita dan penganut agama lain jika ummat Islam berpegang teguh kepada ajaran Islam yang murni berasaskan Al-Quraan dan Hadith sahih Rasulullah SAW. Sekiranya amalan ummat Islam selari dengan tuntutan Al-Quraan dan Al-Hadith, maka ummat lain akan tertarik untuk memeluk Islam dan akhirnya Islam dapat tertegak dengan jayanya di merata dunia.

Ismail Abdullah, USIM, 3 Ogos 2012.