Senin, 13 Agustus 2012

Biar Orang Cina Memimpin Islam

Kini saya sedang membaca buku karangan Sdr Ann Wan Seng, bertajuk “Biar Orang Cina Memimpin Islam”, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd, tahun 2011. Buku setebal 130 halaman menarik minat saya kerana jika ini terjadi maka suatu fenomena baru akan lahir di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia. Sdr Ann Wan Seng seorang Muslim yang kini menjadi Penolong Setiausaha Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan juga menjadi Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). Seorang pendakwah dan aktivis sosial kelahiran Klang, Selangor.

Seluruh bukunya memaparkan hujjah yang kuat bagi menyatakan bahwa Cina Muslim boleh memimpin Islam di mana saja mereka berada, hatta di Malaysia sekali pun. Saya hanya memberikan gambaran secara menyeluruh saja dan pembaca yang berminat boleh memilikinya dan memikirkan perkara ini secara mendalam.

Bagi saya perkara ini tidak mustahil berlaku kerana Islam merentasi bangsa, warna kulit dan keturunan. Muslim yang paling hampir dengan Allah ialah muslim yang paling taqwa. Itu saja kriteria penting dan utama dalam Islam kerana melalui sifat ketawqaan sudah terangkum segala sifat terpuji yang perlu ada bagi melahirkan sebuah masyarakat yang adil dan makmur. Setiap rakyat akan terjamin hak-hak kerakyatannya melalui pemimpin yang bertaqwa kepada Allah SWT. Masalah perselisihan kaum di Malaysia akan dapat diselesaikan dengan aman apabila sebilangan besar orang Cina dan India memeluk Islam dan patuh sepenuhnya kepada syariat Islam. Kekayaan negara diagihkan kepada yang berhak menerimanya dan berlandaskan kepada hukum Islam. Rasulullah SAW telah berjaya menegakkan Negara Islam pertama di dunia dan modelnya sudah ada dan kita hanya melaksanakannya saja.

Penolakan bukan Islam terhadap Islam kini berpunca dari kesalahfahaman mereka terhadap Islam. Maryam Jameelah pernah menulis sebuah buku yang bernama, “Islam the Misunderstood Religion” di mana beliau menggambarkan bahwa Islam telah disalahtafsirkan sehingga ramai yang menolak Islam kerana kebodohan mereka sendiri. Fikiran mereka tidak terbuka untuk mengkaji Islam secara saksama sehingga mereka dengan angkuh menolak Islam tanpa mengkaji Islam terlebih dahulu. Kita menyeru agar sesiapa pun yang bukan Islam agar mengkaji Islam terlebih dahulu sebelum menolak Islam secara apriori.

Allah SWT mencipta Islam sebagai rahmat seluruh alam dan mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul akhir zaman bagi memberi pengajaran dan ingatan kepada manusia sejagat betapa pentingnya risalah Islam difahami dengan jelas dan tegas. Tidak ada satu pun ciptaan Allah itu sia-sia wujudnya. Semuanya ada manfaat bagi manusia. Hanya fikiran manusia saja yang tidak mampu memahami betapa hebatnya ciptaan Allah itu. Jika kita mengikuti panduan Al-Quraan dan Al-Hadith yang disampaikan melalui Rasulullah SAW secara istiqomah dan tegas dunia akan menjadi sebuah tempat yang sangat aman. Tiada hasad dengki dan tiada kemusnahan yang akan berlaku akibat tangan-tangan jahil manusia.

Dengan meletakkan Islam sebagai asas panduan hidup dan menjadikan panduan Allah sebagai cara untuk menjalani hidup ini, maka manusia sejagat akan aman dan sejahtera. Namun apabila manusia meletakkan hawa nafsu mengatasi panduan Allah maka kemusnahan akan tetap berlaku.

Perjuangan bagi mencapai negara sejahtera mestilah berlandaskan Islam tidak mungkin berlandaskan selain Islam. Nasionalisma ternyata gagal, apa lagi komunisma. Mana-mana pihak yang belum menyatakan perjuangan mereka berlandaskan Islam perlu segera merubah arah kepada Islam agar penyatuan berasaskan Islam bukan berasaskan bangsa, kaum atau keturunan. Jika kita ingin mewariskan Malaysia secara aman kepada generasi penerus berikutnya maka kita harus segera kembali kepada Islam yang sempurna (syumul) dan mengamalkan kehidupan secara Islam total.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 13 Ogos 2012.