Jumat, 17 Agustus 2012

Negara maju yang sejahtera dan bahagia

Gagasan 1Malaysia mempunyai dua (2) asas utama iaitu menyuburkan perpaduan dan membina negara maju. Ianya mempunyai tiga (3) teras perpaduan iaitu penerimaan, perlembagaan persekutuan dan rukun negara, dan keadilan sosial. Terdapat empat (4) nilai yang menyokong teras perpaduan iaitu hormat menghormati, rendah hati, kesederhanaan, dan berbudi bahasa. Diisi pula dengan empat (4) budaya progresif iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya inovasi dan budaya ilmu. Tercantum bersamanya empat (4) nilai-nilai aspirasi yang terdiri dari kebijaksanaan, kesetiaan, ketabahan dan integriti. Itulah gagasan 1Malaysia. Moto utama konsep 1Malaysia ialah rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Dalam bukunya yang bertajuk, “Budaya Ilmu dan Gagasan 1Malaysia Membina Negara Maju dan Bahagia”, Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud menggariskan misi utama beliau dalam menggarap monograf ini iaitu “bekerjasama dalam mencapai kebajikan dan rasa kasih dan takut akan Tuhan, dan tidak bekerjasama dalam hal-hal yang membawa dosa dan permusuhan (Surah Al-Maidah, ayat 2)”. Monograf 65 mukasurat itu telah diterbitkan oleh Akademi Kenegaraan BTN, edisi kedua 2012, cetakan pertama ialah tahun 2010.

Hakikat konsep 1Malaysia tidak mengasimilasikan kaum-kaum yang ada di Malaysia seperti yang cuba dilakukan di Indonesia dan beberapa negara lain tetapi mengintegrasikan mereka dengan mengekalkan identiti kaum masing-masing tetapi ditambah nilai kepada budaya masing-masing agar tidak berlaku bergeseran yang membawa kepada perpecahan, sebab itu diutamakan proses menyuburkan perpaduan dalam misi membina negara maju.

Saya tertarik untuk menyorot karya Wan Mohd Nor kerana menyentuh nilai akhlak yang tinggi dalam pembinaan negara maju, bukan material yang diutamakan. Beliau telah menengahkan konsep kesejahteraan dan kebahagiaan (sa’adah). Konsep ini sangat sesuai dengan konsep negara (baldatun toyyibah) yang diredhai oleh Allah S.W.T. Beberapa sarjana di United Kingdom telah mencipta Peta Kebahagiaan Global 2006 (A Map of Global Happiness 2006) yang meletakkan Malaysia pada tangga ke-17, sementara Denmark (5.5 juta penduduk) berada paling atas, diikuti Switzerland (7.5 juta) dan Austria (8.2 juta). Walau pun ukuran mereka tidak mengikut Al-Qur’aan dan Sunnah, namun pada asasnya mereka mempunyai pengukuran kesejahteraan dan kebahagiaan secara global yang boleh diterima oleh masyarakat umum. Jika Malaysia ingin meningkat ke tangga 10 negara paling sejahtera dan bahagia maka banyak lagi penambaikan yang mesti dilakukan. Mungkin kita akan cuba membuat kajian mengikut parameter yang ditetapkan oleh Al-Qur’aan dan Sunnah dalam menentukan negara sejahtera dan bahagia menurut pandangan Islam.

Didapati bahwa hampir semua negara yang berada di atas Malaysia dari nombor 1 hingga nombor 16 mempunyai rakyat yang homogenous (majoriti berbangsa tertentu dan beragama tertentu), ini berbeza dengan Malaysia yang mempunyai komposisi kaum yang berbagai dan menganut agama yang bermacam-macam. Kesukaran yang amat sangat terasa dalam memuaskan semua kehendak semua bangsa yang terdapat di Malaysia. Kecondongan kepada satu kaum akan melukai kaum yang lain dan begitulah sebaliknya. Dalam Bahasa Inggeris suasana ini disebut sebagai “delicate balance”, sebuah neraca timbangan yang sukar distabilkan. Sedikit sahaja berlaku ketidakadilan akan memusnahkan negara yang sekian lama dibina dengan berhati-hati. Sensitiviti kaum mesti dijaga dengan rapi dan berhemah. Semua tuntutan rakyat mesti dicari penyelesaian yang tuntas seperti menarik rambut dalam tepung, rambut boleh ditarik tanpa menyelerakkan tepung.

Pada halaman 14 hingga halaman 29, Prof Wan Mohd Nor menerangkan konsep Pohon Rimbun Ketatanegaraan Imam Al-Ghazali. Beliau menyatakan bahwa Hujjatul Islam Imam Abu Hamid Al-Ghazali (1111 masehi) pernah menulis sebuah kitab ketatanegaraan bagi para pemimpin Islam zamannya bertajuk “Nasihat untuk Raja-Raja (Nasihatul Muluk)”. Imam Al-Ghazali mengambil iktibar dari Surah Ibrahim, ayat 24 dan 25 bagi menyemai Budaya Ilmu dan tata cara pentadbiran negara yang berpandukan kepada kehendak Allah. Pohon ketatanegaraan Imam Al-Ghazali mempunyai 10 akar dan 10 dahan. Akarnya disuburkan dengan air kesedaran dan keinsafan tentang hakikat kematian, dan betapa harta itu hanyalah bersifat sementara di dunia dan tidak ada manfaatnya di akhirat jika ianya tidak digunakan bagi mensejahtera dan membahagiakan rakyat. Raja ialah tukang kebun yang diamanahkan bagi menjaga pohon keramat itu. Buahnya boleh dinikmati oleh rakyat jelata dan negara menjadi sejahtera dan bahagia.

Sesiapa yang ingin mendalami konsep negara sejahtera dan bahagia agar mendapatkan buku Prof Wan Mohd Nor dan menghayati konsep negara sejahtera dan bahagia. Kita tidak ingin mewariskan negara Malaysia tercinta yang kacau bilau kepada generasi akan datang di mana tiada keadilan tertegak dan tiada sejahtera terasa dan tiada bahagia tercipta. Kita ingin Malaysia sebuah negara maju yang berakhlak tinggi dan sesuai dengan perintah Allah S.W.T. sejahtera dan bahagia hidup kita.

Ismail Abdullah, USIM, 17 Ogos 2012.


Tidak ada komentar: